MATA JULING BOLEH DI URUSKAN
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
- copy from utusan online...
KATA pantun, dari mana punai melayang, dari paya turun ke padi. Dari mana datangnya sayang, dari mata turun ke hati. Namun, bagi individu yang tidak mempunyai mata yang sempurna seperti juling, ia akan menjejaskan imej dan keyakinan diri mereka.
Kerap kali, mereka akan mengelak daripada bertentang mata dengan orang lain kerana berasa rendah diri. Malah, kajian telah membuktikan bahawa mata juling menyukarkan seseorang bertemu jodoh dan menjejaskan peluang pekerjaan.
Dengan penglihatan normal, kedua-dua mata akan menuju satu titik atau objek yang menjadi pusat perhatian. Kemudian otak menyatukan kedua-dua imej yang terbentuk dari setiap mata menjadi satu bayangan tunggal tiga dimensi. Imej tiga dimensi inilah yang memberikan kita persepsi kedalaman.
‘‘Juling atau istilah perubatannya strabismus adalah efek penglihatan di mana kedua-dua mata tidak terarah pada satu objek yang menjadi pusat perhatian."
‘‘Satu mata (kadangkala kedua-duanya sekali) boleh tertumpu pada satu objek sedangkan mata yang lain juling ke dalam, ke luar, ke atas atau ke bawah,’’ kata Pakar Runding Oftalmologi dan Pembedahan Mata, Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC), Dr. Choong Yee Fong.
Menurutnya, juling sama ada boleh menjadi sesuatu yang kekal atau dapat juga tenggelam timbul di mana mata yang juling kelihatan lurus dan yang tadinya tampak lurus kelihatan juling.
Di kalangan kanak-kanak, juling bukan sahaja berubah-ubah dari hari ke hari tetapi keadaannya boleh berubah-ubah dalam masa sehari sahaja.
Juling tidak memilih jantina, ia boleh berlaku kepada lelaki mahupun wanita. Juling juga dapat diwarisi daripada ibu bapa kepada anak-anak. Namun ia tetap boleh terjadi walau tidak ada riwayat keluarga juling.
Dr. Choong berkata, apabila salah satu mata juling, dua gambar yang berbeza akan dikirim ke otak. ‘‘Pada anak-anak usia muda, otak belajar mengabaikan bayangan dari mata yang juling dan hanya melihat satu bayangan dari mata yang lurus atau mata yang melihat lebih baik. Lama-kelamaan, kanak-kanak tersebut kehilangan kedalaman persepsinya.
‘‘Sementara itu, orang dewasa yang mengalami juling sering mengeluh penglihatannya menjadi berganda kerana otaknya sudah terlatih untuk menerima imej dari kedua-dua mata dan tidak dapat mengabaikan bayangan dari mata yang juling,’’ ujar beliau.
Mata malas
Penglihatan seseorang kanak-kanak itu akan berkembang baik apabila kedua-dua matanya dalam posisi normal. Juling mampu mencetuskan ambliopia (mata malas), iaitu penglihatan yang tidak sempurna pada mata yang juling.
Otak akan mengutamakan imej yang datang dari mata yang lebih baik dan mengabaikan bayangan dari mata yang lebih lemah atau mata yang ambliopia. Hal ini terjadi pada hampir 50 peratus kanak-kanak yang juling.
Ambliopia dapat diatasi dengan menutup mata yang lebih baik dan memaksa mata yang lebih lemah agar penglihatan menjadi lebih baik.
Apabila terapi dilakukan pada kanak-kanak pada usia yang sudah agak lewat, mata malas umumnya menjadi kekal. Justeru, lebih awal ambliopia dirawat, penglihatan akan menjadi lebih baik.
Penyebab juling
Enam otot mata yang mengawal pergerakan bola mata melekat pada bahagian luar mata. Pada setiap mata, dua otot menggerakkan ke kanan dan ke kiri. Empat otot lainnya menggerakkan ke atas, ke bawah dan berpusing.
Agar kedua-dua mata lurus dan dapat menumpu pada satu objek yang menjadi pusat perhatian, semua otot pada setiap mata harus seimbang dan bekerja secara bersama-sama.
Agar kedua-dua mata bergerak bersama-sama, semua otot pada kedua-dua mata harus diselaraskan dengan baik. Otot-otot mata ini dikawal oleh otak.
Juling lazim ditemui pada kanak-kanak dengan kelainan pada otak seperti palsi serebral, sindrom down, hidrosefalus, tumor otak dan anak yang lahir tidak cukup bulan.
Katarak atau trauma yang menjejaskan penglihatan juga boleh menyebabkan strabismus. Namun banyak juga kanak-kanak yang bermata juling tidak mempunyai kelainan-kelainan tersebut.
Gejala strabismus
Tanda utama juling adalah mata yang tidak lurus di mana apabila satu mata terfokus pada satu objek, mata yang lain tertuju pada objek yang lain pula.
Kadang-kadang, anak dengan strabismus akan mengenyitkan satu mata di saat matahari terik atau memiringkan leher untuk menggunakan kedua-dua matanya secara bersama-sama.
Apakah yang dimaksudkan dengan pseudostrabismus?
Mata bayi sering terlihat seakan-akan juling, padahal sebenarnya tidak juling. Keadaan ini yang disebut pseudostrabismus atau juling palsu.
Bayi baru lahir, kata Dr. Choong, sering mempunyai hidung yang agak lebar, leper atau agak penyek dan ada lipatan kulit pada bahagian kelopak dekat hidung yang kelihatan seolah-olah juling.
‘‘Keadaan ini akan pulih dengan sendirinya dengan bertambahnya usia dan perkembangan bayi. Bayi atau anak seperti ini tidak akan membesar menjadi benar-benar juling di kemudian hari.
‘‘Seorang pakar mata biasanya dapat menjelaskan kepada pesakitnya perbezaan di antara juling dengan pseudostrabismus,’’ kata beliau.
Jenis-jenis juling yang kerap ditemui
* Esotropia kongenital di mana mata juling ke dalam yang bermula dari usia bayi kurang enam bulan. Bayi seperti ini tidak dapat menggunakan kedua-dua matanya secara bersama-sama. Pada kebanyakan kes, pembedahan awal diperlukan untuk meluruskan matanya
* Esotropia akomodatif merupakan bentuk esotropia (juling ke dalam) yang biasa ditemui pada kanak-kanak berusia dua tahun atau lebih besar. Pada jenis juling seperti ini, apabila kanak-kanak memfokuskan matanya untuk dapat melihat jelas, mata akan tampak juling ke dalam. Juling ini berlaku semasa melihat jauh saja, melihat dekat saja atau kedua-duanya
* Eksotropia atau juling keluar merupakan bentuk lain juling yang juga sering ditemui. Bentuk juling ini paling sering terjadi ketika anak memandang objek yang jauh.
Eksotropia hanya muncul sekali sekala terutama bila anak dalam keadaan lelah, sakit atau mengelamun. Orang tua sering memperhatikan anaknya juling keluar saat berada pada matahari terik.
Walaupun kaca mata, latihan atau prisma dapat mengurangi atau membantu mengawal juling di kalangan sesetengah kanak-kanak, namun dalam kebanyakan kes, pembedahan mungkin diperlukan.
Bagaimana mendiagnosis juling
Dr. Choong berkata, strabismus dapat didiagnosis melalui pemeriksaan mata. Adalah disarankan agar kanak-kanak berusia di antara tiga hingga tiga setengah tahun menjalani pemeriksaan mata oleh pakar kanak-kanak, doktor atau mereka yang terlatih untuk memeriksa penglihatan anak prasekolah.
‘‘Apabila ada kanak-kanak yang gagal dalam ujian pemeriksaan ketajaman penglihatan, mereka akan dirujuk ke pakar mata untuk pemeriksaan lanjut.
‘‘Jika terdapat riwayat keluarga strabismus atau ambliopia, atau riwayat keluarga menggunakan kaca mata tebal, seorang pakar mata akan melakukan pemeriksaan penglihatan walaupun usianya kurang dari tiga tahun.
‘‘Sekiranya memang kanak-kanak tersebut kejulingannya nampak jelas sejak usia kurang dari enam bulan, ibu bapa perlu membawanya berjumpa doktor seawal yang boleh,’’ jelasnya.
Setelah pemeriksaan mata lengkap, pakar mata akan mencadangkan terapi yang sesuai. Dalam beberapa kes, pemakaian kaca mata dapat meluruskan kedudukan bola mata.
Terapi lain berupa prosedur pembedahan untuk menyeimbangkan otot-otot yang tidak seimbang atau surgeri katarak apabila terdapat katarak. Selalunya, menutup sebelah mata yang dominan untuk mengatasi ambliopia, diperlukan.
Rawatan
Juling tidak akan pulih dengan sendirinya. Rawatan untuk meluruskan mata diperlukan. Jenis-jenis rawatan mungkin digunakan secara sendirian atau bergabung, bergantung kepada jenis juling dan penyebabnya.
* Biasanya kaca mata akan dipreskripsi untuk meningkatkan tumpuan dan mengarahkan garisan penglihatan, membolehkan mata menjadi lurus
* Ubat-ubatan dalam bentuk titisan mata atau sapuan mungkin juga digunakan dengan atau tanpa kaca mata. Ubat suntikan mungkin digunakan untuk melemahkan secara berpilih, otot-otot mata yang terlampau aktif
* Pembedahan akan dilakukan pada otot mata untuk meluruskan mata setelah pendekatan tanpa bedah tidak berjaya
* Latihan atau senaman mata berguna sama ada sebelum atau selepas surgeri.
Bagaimana pembedahan juling dilakukan
Dr. Choong memberitahu: ‘‘Apa pun jenis pembedahan mata, bola mata tidak akan dikeluarkan dari soketnya. Pakar mata akan membuat hirisan pada selaput putih mata untuk dapat mencapai otot penggerak bola mata.
‘‘Otot mata kemudian dilepaskan dari lekatannya dan dipindahkan (lekatannya) pada tempat yang diinginkan sesuai dengan arah juling bola mata. Atau, otot-otot dipotong sedikit sesuai keperluan kemudian dilekatkan lagi pada tempat perlekatan semula.’’
Pembedahan strabismus dapat dilakukan pada satu atau kedua-dua mata sekali gus bergantung jenis dan besarnya juling. Surgeri umumnya dilakukan dengan bius umum, terutama pada kanak-kanak.
Surgeri biasanya dilakukan sebagai prosedur pesakit luar sahaja. Waktu pemulihan juga adalah cepat. Kanak-kanak biasanya dapat kembali melakukan aktiviti normal dalam masa beberapa hari sahaja.
Setelah pembedahan, kaca mata mungkin masih diperlukan. Dalam beberapa kes, pembedahan lebih dari satu kali mungkin diperlukan untuk menjaga mata agar tetap lurus.
Kesan sampingan surgeri
Seperti juga pembedahan lainnya, surgeri strabismus juga ada risiko termasuklah infeksi, perdarahan, jaringan parut yang berlebihan dan walaupun amat jarang terjadi, gangguan penglihatan.
Pembedahan juling umumnya merupakan cara yang efektif untuk mengatasi masalah juling. Di samping itu, tambahan kaca mata dan terapi ambliopia tidak kurang pentingnya.
Untuk maklumat lanjut, bolehlah menghubungi ISEC di talian 03-22848989 atau layari laman webnya di alamat : www.isecmalaysia.com
Lagi INFO : KLIK SINI
* * * * * * * * * ♥♥♥ * * * * * * * * *
ps : Pengalaman anak sendiri menjalani pembedahan untuk membetulkan saraf mata (baca sini)
2 comments :
semoga mata abg farish akmal segera pulih spt sedia kala..
Bismillahmirrahmanirrohim
assalamualaikum .Nak tanya ,ape cara untuk saya yg berumur 13 thn sudah untuk memulihkan juling sebelah mata kiri(juling ke luar).Juga,saya rabun kuat,sebelah mata kanan,mungkin juga sebab selalu guna mata kanan. dan power mata kiri kurang sikit. ade ke cara untuk pulihkan mata sebelah kiri itu????
mohon penjelasan kerana dalam banyak2 bolg saya pergi x ada ygpernah nak jawab, sekali lagi mohon penjelasan
Post a Comment