CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

My Followers

Tuesday, February 9, 2010

Puisi Untuk Isteri


Perempuan bagaikan angin lembutnya melenakan,
ributnya menggusarkan.
Adakalanya mereka seperti ibu menyaji kasih,
menghidang sayang.
Adakalanya mereka seperti anak ingin dibelai,
minta dimanjakan.
Adakalanya mereka seperti nenek berleter seadanya, merungut semahuannya.
Namun, teman kembara dalam kehidupan
yang sementara ini,
bahagia dan derita kita sangat berkait dengan mereka.

Psst....
Tiba-tiba isteri merajuk pandai-pandailah memujuk
buka telinga, tajamkan pendengaran, amati suaranya.
Teliti dengan hati yang terseni rasional atau emosi?
Andainya emosi, belailah emosi itu,
jangan cuba dihadapkan secara rasional.
Kerana sidia tak akan terdaya mengunyah hujah,
Berilah walau seribu sebab lengkap dengan perangkaan statistik atau dokumen saintifik
berserta dengan beberapa affidavit,
dia tetap melulu kerana fikiran sudah berjerebu.

Dalam situasi ini fikiran telah ditawan perasaan
sebaiknya, perhaluskan kata, perindahkan bahasa jinakkan perasaan, hadiahkan senyuman.
Masih gagal ?
Cuba gunakan sentuhan semarakkan belaian.
Masih gagal juga ?
Tunggu saja rajuknya reda, emosi isteri bagai riak-riak air dalam cawan jangan digoncang...... buat selamba
lambat laun, gelombang akan tenang air dicawan
akan kita minum jua.

Tapi awas.....
Kalau ternyata, rajuknya berfakta,
Masamnya berdata, geramnya berilmiah,
Marahnya ada 'prima facie'
Ini rajuk taraf tinggi namanya, perlu ditangani berhati-hati
Kalau ternyata benar, apa salahnya kita terima mengaku lalu berjanji serta berikrar....
"Sayang abang tak ulang lagi"
katakan "Sayang....abang alpa"
bisikkan "Darling.. I lupa."
Hulurkan tangan, pinta kemaafan pendekatan kasanova,
tapi hati suci..
Rajuk isteri seperti mangga muda perisanya masam tetapi... kalau kena cicahnya enaknya akan terasa, ingat api yang panas, padam oleh salji yang dingin.

Arrgghh...
Tiba-tiba isteri merungut malah kadangkala agak mengugut
Minta aksesori serta perabut
Minta Villa yang tersergam indah
atau mahligai di lereng bukit.
Sedangkan kita bukan Shah Jehan
yang mampu membina Taj Mahal buat isterinya
Tetapi isteri pula, persis Nur Jehan yang meminta petanda keagungan cintanya.
Katanya " Seabadi permata....segermelapan intan "
sedangkan ditangan kita cuma cincin tembaga....

Aduh...
Peritnya mengukur cinta dalam ukuran mayam
atau menimbang setia
Menerusi Bursa Saham papan utama kasih isteri, turun naik
mengikut kadar tukaran wang asing.
Tiada guna menyesali diri diakan dulu pilihan kita ?
semasa mekarnya dia dihargai, dipuja-puji
Dia kini sudah menjadi ibu pada anak-anak kita
sudah takdir... permata yang dipilih perlu digilap semula.
Namun putus asa jangan sekali
Terimalah dia, dengan redha.

Justeru isteri pada hakikatnya adalah bayang-bayang suami,
Wanita adalah tulang rusuk yang bengkok, uruskan dengan berhati-hati bertegas tapi jangan berkeras,
lembut tapi jangan reput.

Katakan RM bukan segala-galanya
Lalu pada saat yang kudus setelah bersolat bersama
Bisikkanlah " Duhai isteriku... marilah kita bina perkahwinan ini dengan cinta yang sejati.
Marilah kita kutip rezeki dengan keringat tersuci
Kita cari harta, tetapi itu bukan segala-galanya
Padamu isteri, istanamu, di hati ini.
Padamu sayang kalung cintamu, di jiwa ini."

Puuuh...
Akan tiba masanya bila 'isteri' di hati tapi kurang di mata
Usia meningkat kecantikan tergugat dulu yang kita lihat mulus kini beransur pupus,
Betis, tidak lagi bunting padi
Pipi, bukan lagi pauh dilayang
Apakah dengan itu akan berkurang cinta kita?
Jika berkurang, nyatalah cinta kita
Selama ini cinta di mata bertapak di 'body'
Tapi jika cinta tetap kekal malah semakin bertambah
Ertinya cinta kita di hati, berpasak di budi itulah cinta sejati.

Namun tidak salah di samping menyanjung budi,
Kita merampingkan 'body' kalau ada kesempatan
Ajaklah dia bersenam, amalkan puasa sunat
Tapi ingat niat kerana Tuhan
Bukan kerana ingin kuruskan badan
Tapi Tuhan Maha Penyayang
Dia pasti membantu isteri yang memburu keredhaan suami
Tak salah kalau mohon kesihatan, kecantikan dan kecergasan
sama-samalah merampinkan badan
Yang terlebih dikurangkan.

Jangan sesekali mencemuh apalagi menjauh
Apa gunanya membandingkan isteri dengan perawan.
Bukan masanya lagi merenung dara
Tapi kini saat menghitung dosa
Lalu ajaklah isteri sama-sama menambah bakti
Moga-moga cinta kita kekal ke hujung usia
Di dunia ini dan di akhirat nanti
Itulah yang dikatakan
Hidup berdua, 'selepas' mati pun bersama.

Uhhh....
Kekadang isteri mengamuk dengan ombak prasangka
dan taufan cemburu
Apa bukti setiamu suami?
Apakah tandanya hanya aku di hatimu?
Kekadang disergahnya kita ketika keringat masih membasah
baru menjengah pintu rumah.

Ketika itu nilailah diri, mungkin kita berdosa dengan Tuhan
atau bersalah dengan insan, mungkin banyak kezaliman dan penganiayaan yang telah kita lakukan
Lalu datang teguran, amaran dan peringatan
secara 'indirect' dari Tuhan
Hadapkanlah diri ke cermin hati, kaji diri satu persatu
Kalau liar, berhentilah kalau berdosa, bertaubatlah
Sebaliknya jika ternyata isteri yang melulu, nasihatkanlah baik-baik, bukan senang nak senang...

Ingatlah mustika kata dalam kitab-kitab tua
Suami yang bersabar dengan isteri yang jahat akan mendapat pahala Nabi Ayub atau ingatlah pesan Sayidina Umar al-Khattab, ketika didatangi seorang suami yang dileteri isteri
"Bersabarlah, kerana sesungguhnya
isteri telah banyak membantu kita.
Dia yang menyelamatkan kita daripada amukan nafsu.
Dia yang membantu menjaga makan minum kita.
Dia yang mencuci kain baju kita.
Dia yang membantu membersihkan rumah kita...
Lalu apa salahnya kita bersabar dengan sedikit kerenahnya ?
Marilah sama-sama kita tabur secubit salji
pada segenggam api.
Telah banyak kita dengar cerita keruntuhan,
kisah perpisahan.

Marilah kita suburkan kembali pohon perkahwinan ini
walaupun sudah berdekad-dekad usianya.
Institusi ini adalah kubu terakhir kita.
Marilah kita pertahankan bersama si dia.
Cinta kita jangan mati dalam arus dunia siber,
biar setia kita makin waja.

Biarlah skrin-skrin internet atau inranet memaparkan
yang indah-indah pantulan seri rumah tangga kita.
Bicara ini diakhiri dengan satu coretan yang mungkin boleh diguriskan pada kad hari lahir isteri
atau kad ulang tahun perkahwinan atau surat biru
yang ingin kau utuskan padanya...
Atau kau pahatkan saja di halaman hatimu pada malam nanti

Aku hanya seorang suami
yang menerima setulus hati seorang isteri.
Janji yang termeterai di akad nikah kita musim yang lalu.
Salam kuhulur buat menyapa hatimu nan luhur.
Bersamalah kita harungi derita yang datang.
Bersatulah kita tempuhi nikmat yang bertandang.
Denai perkahwinan pasti dihujani air mata.
Biar kita rasa rupanya syurga itu sangat tinggi maharnya.

Isteri... tidak kutagih setia, sesetia Hawa.
Atau kerinduan menggila Laila yang sangat dalam.
Terimalah kehadiranku di sudut tersuci di dalam hatimu.....
seorang isteri...

sumber : c&p dr internet



No comments :