CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

My Followers

Sunday, December 12, 2010

Kongsi info : Penyusuan Susu Ibu

Secara lumrahnya setiap wanita dikurniakan dengan kebolehan untuk menyusui bayinya. Dengan adanya keyakinan dan pengetahuan setiap wanita boleh melakukannya.

Saiz payudara tidak boleh dijadikan ukuran sebanyak mana susu akan dihasilkan. Kekerapan bayi menghisap akan merangsang penghasilan susu ibu yang banyak, mengikut permintaan bayi. 

Masalah puting susu yang leper atau tenggelam juga tidak sepatutnya menjadi halangan. Mereka yang menghadapi masalah sebegini sebaiknya mendapatkan bantuan profesional yang boleh membantu mereka.

Persediaan Semasa Hamil

Tempoh kehamilan sebaiknya dipenuhi dengan aktiviti untuk mempelajari ilmu keibubapaan. Dapatkanlah dan baca sebanyak mungkin mengenai penyusuan susu ibu serta lain-lain aspek penjagaan anak. Jika berpeluang, hadiri kelas-kelas ibu mengandung bersama suami anda. 

Payudara anda biasanya membesar sedikit semasa hamil kerana pembesaran kelenjar-kelenjar susu. 

Untuk menampung payudara, baju dalam yang berukuran satu saiz lebih besar biasanya diperlukan. Gunakan air biasa sahaja untuk mencuci payudara. Elakkan penggunaan sabun kerana ianya boleh mengeringkan kulit payudara.

Pastikan payudara diperiksa oleh doktor untuk memastikan anda tidak mempunyai masalah di payudara.

Ikuti kelas atau ceramah mengenai penyusuan susu ibu yang terdapat di tempat anda. Ini boleh membantu anda mengetahui lebih mendalam mengenai penyusuan dengan susu ibu.

Pada bulan-bulan akhir, pelajari cara-cara memerah susu. Pengetahuan ini akan membantu anda selepas kelahiran bayi, sekiranya perlu.

Selepas Melahirkan Bayi

Hari-hari pertama selepas kelahiran memang meletihkan. Kuatkan semangat dan susui bayi anda secepat mungkin selepas dilahirkan. Pengalaman menyusui bayi yang baru lahir adalah satu pengalaman indah bagi seorang ibu.

Susui bayi anda dengan kerap mengikut permintaannya dan bukan mengikut jadual yang tertentu. Jika bayi anda lebih suka tidur, bangunkan dan galakkan dia menyusu lebih kurang setiap 2 jam.

Hari-hari pertama merupakan waktu-waktu yang penting. Payudara mungkin belum dipenuhi susu, namun susu ini sangat penting. Susu awal ibu tidak banyak tetapi ianya pekat dan berwarna kekuningan. 

Susu ini dinamakan kolosterum dan kaya dengan protein serta antibodi yang boleh melindungi bayi dari penyakit. Kolosterum ini sudah cukup untuk mengenyangkan bayi anda. Bayi tidak perlu diberi susu botol atau air masak.

Buat permulaan, bayi anda mungkin akan menghisap selama beberapa minit sahaja. Biarkan dia menghisap lebih lama jika mahu. Keperluan seseorang bayi adalah berlainan daripada bayi yang lain. 

Susui bayi anda dengan kedudukan yang selesa samada duduk atau berbaring. Gunakan bantal untuk mengampu tangan atau belakang jika perlu. Pastikan bayi mengiring rapat menghadap anda agar dia dapat memasukkan sebanyak mungkin kawasan areola (tampuk hitam disekitar puting) ke dalam mulutnya. Posisi penyusuan yang baik akan dapat mengelakkan masalah seperti sakit puting atau kurang susu.

Jika anda menghadapi masalah, kami syorkan anda mendapat bantuan dari mereka yang mahir.

Petua Penyusuan Yang Berjaya

Amalan positif:
  • Persediaan mental sebelum kelahiran adalah penting. Dapatkan maklumat-maklumat berguna mengenai penyusuan susu ibu semasa hamil.
  • Yakinkan diri yang susu anda mencukupi untuk bayi anda.
  • Susui bayi dalam keadaan tenang dan banyak berehat pada minggu-minggu awal selepas kelahiran bayi.
  • Pastikan penyusuan dilakukan dengan posisi yang baik dan selesa supaya tidak terasa lenguh dan mengelakkan masalah seperti sakit puting.
  • Makan makanan yang seimbang dan minum air yang mencukupi.
  • Perlu diingatkan bahawa bekalan susu ibu bergantung kepada rangsangan. Lagi kerap bayi menyusu, semakin banyak susu akan dihasilkan.
Amalan negatif:
  • Jangan terpengaruh dengan kata-kata bahawa susu anda tidak mencukupi untuk bayi anda. Jika anda berupaya melahirkan seorang bayi ke dunia ini, anda sudah pasti mampu memberikannya susu yang terbaik.
  • Jangan berikan bayi anda susu botol tambahan atau air masak. Bayi tidak perlu diberikan makanan atau minuman lain kecuali susu ibu sehingga berusia 4 hingga 6 bulan.
  • Cara menghisap puting botol dan puting payudara adalah berbeza. Ini boleh mengelirukan bayi dan ibu tidak akan berjaya untuk menyusukan bayi.
  • Jangan menyusu dalam keadaan terburu-buru. Masa 6 minggu pertama adalah masa 'latihan' untuk ibu dan bayi. Ketenangan dan kesabaran akan menyelesaikan banyak masalah.
Jangan risaukan kekerapan bayi membuang air besar. Ini merupakan perkara biasa bagi bayi yang diberi susu ibu. Najis biasanya cair sedikit dan berwarna kekuningan. Adakalanya bayi tidak membuang air besar beberapa hari lamanya. Ini juga perkara biasa.
 p/s : copy from internet klik sini

*Posisi penyusuan yang baik*

Menyusu dalam posisi yang salah boleh menyakitkan anda dan juga mengecewakan bayi. Berikut adalah cara yang betul:

  • Sentuh bibir bayi dengan hujung puting sehingga dia membuka mulutnya.
  • Biarkan dia membuka luas mulutnya untuk memenuhi sebahagian besar areola (bahagian berwarna coklat).
  • Gerakan rahang dan bunyi tegukan memastikan yang bayi menyusu dalam posisi yang betul.
  • Selepas menyusu, masukkan hujung jari kelingking anda di hujung mulut bayi untuk menghentikan hisapan.

*Refleks ‘let-down’ atau pancutan susu*

Refleks ‘let-down’ adalah rasa berdenyut yang menandakan aliran hangat susu sebaik sahaja bayi telah berada pada posisi penyusuan yang betul. Jika anda tidak mengalami rasa ini, ia mungkin disebabkan oleh gangguan, tiada ruang untuk bersendirian, rasa malu atau cemas tentang penyusuan susu ibu, letih atau sakit.


*Pilih posisi yang selesa*

Dapatkan posisi yang membuat anda dan bayi rasa selesa. Tubuh bayi haruslah rapat ke anda dan mukanya bertemu dengan payudara anda. Mulutnya haruslah berhampiran dengan puting dan kepala, leher dan belakangnya perlulah dalam keadaan lurus. Belakang badan anda juga perlulah tegak, jangan membongkok. Gunakan bantal untuk bersandar, jika perlu. 

Posisi dakapan : Ini merupakan posisi klasik dan menjadi kegemaran kebanyakan ibu. Ia membolehkan perut bayi dan perut anda bertemu supaya anda tidak perlu memusingkan kepalanya untuk menyusu. Kepala bayi berehat di dalam dakapan anda. • Sokong belakang badan dan punggung bayi. • Lengan bayi perlu berada di bahagian sisinya. 


Posisi ‘football hold’ : Posisi ini sangat sesuai jika anda baru pulih daripada pembedahan ‘Cesarean’, memiliki payudara yang besar, menyusukan bayi pramatang atau bayi yang kecil saiznya atau menyusukan anak kembar pada waktu yang serentak. • Sokong kepala bayi dengan tangan. • Gunakan bantal untuk menyokong belakang badan anda. 


Posisi berbaring :  Cuba posisi ini apabila anda dan bayi rasa letih. Jika anda baru pulih daripada pembedahan ‘Cesarean’, ini mungkin satu-satunya posisi yang boleh anda cuba pada beberapa hari pertama. • Sokong kepala anda dengan lengan. • Sokong bayi anda dengan lengan atas. 

*Beralih payudara*


Jika boleh, berikan bayi menyusu dari kedua-dua belah payudara pada setiap kali menyusu. Susukan bayi pada satu payudara sehingga dia berhenti menghisap. 
Angkat bayi, sendawakannya dan alihkannya ke payudara sebelah dan teruskan menyusu sehingga dia kenyang. Untuk penyusuan yang berikutnya, mulakan pada payudara yang terasa sarat dengan susu.


 
*Sendawakan bayi*

Sendawakan bayi setiap kali selesai penyusuan. Dia mungkin termuntah susu, jadi pastikan anda menyediakan tuala. Jika dia tidak sendawa selepas 30 saat, dia mungkin tidak perlu disendawakan.
• Letakkan bayi di bahu anda.
• Gosok atau tepuk perlahan belakang badannya.

  
 p/s : copy from internet klik sini

Teknik Menyusukan Bayi 

 1. Kedudukan badan
    • Pastikan anda selesa. bayi perlu diampu dengan baik. Anda boleh duduk bersandar di atas katil dengan kepala bayi di atas lengan atau anda duduk bersandar di atas kerusi
    • Jangan bersandar terlalu jauh daripada bayi anda sehingga susah ia mencapai puting untuk menyusu dan jangan terlalu membonkok sehingga terlalu rapat dengan bayi
    • Gunakan bantal, kusyen atau bahan yang lembut untuk bersandar atau merehatkan kaki bagi menyokong anda dan bayi semasa penyusuan  
2. Cara memegang bayi 
    • Kepala, tengkuk dan tubuh bayi dalam keadaan selari
    • Muka bayi menghadap payudara, hidung bayi bertentangan puting payudara ibu
    • bayi rapat dengan ibu (perut bertemu perut). Punggung, kepala dan bahu bayi diampu
 3. Cara memegang payudara  
    • Cara yang betul adalah Pegangan C iaitu ibu jari di atas puting dan jari lain di bawah puting
    • Cara yang salah adalah Pegangan Gunting iaitu ibu jari dan jari telunjuk di atas puting dan jari lain di bawah puting
Posisi Penyusuan 

1. Posisi mendukung/buai
    • Ibu duduk memangku bayi dengan lengan
    • muka dan kepala bayi menghadap payudara.
2. Posisi mendakap/di sisi
    • ibu duduk dengan badan bayi disokong sepanjang lengan dan kaki dibalut longgar
    • ibu memangku bahu bayi dan memegang kepala
    • pastikan ruang mencukupi bagi bayi tanpa membongkokkan kepala ibu ke hadapan untuk menyusukannya
3. Posisi mendukung bersilang/bersilang buai
    • Bayi dipangku sepanjang lengan dan ibu juga boleh menukar pegangan bayi. Ibu juga boleh mengawal kepalanya
    • Posisi ini sesuai untuk bayi pramatang yang sukar untuk melekap
4. Posisi baring
    • bayi baring mengiring menghadap ibunya. Seluruh badannya melekap dekat  ibu. Posisi ini sesuai untuk ibu yang hendak berehat
Penyusuan pasangan kembar
    • Bayi kembar boleh menyusu pada kedua-dua payudara pada masa serentak
Pelekapan
 
Cara yang betul menyusukan bayi
  • Sentuh bibir bayi, tunggu mulutnya terbuka luas
  • gerakkan badan bayi ke arah payudara
  • pastikan bayi mengambil lebih kawasan hitam payudara (areola)
  • pastikan bayi melekap dengan betul dan ampu sedikit payudara
Cara pelekapan yang betul
  • mulut bayi terbuka luas
  • dagunya mencecah payudara
  • bibir melekup keluar
  • pipi gelembung
  • payudara nampak penuh dan bulat
  • terdengar nada hisapan - hisap -telan-hisap-telan
Cara pelekapan yang salah
  • dagu bayi jauh
  • tidak banyak areola yang masuk ke dalam mulut bayi
  • dagu tidak menyentuh payudara
  • ibu rasa sakit
  • payudara boleh bengkak dan puting luka

No comments :